4 Waktu Tepat Untuk Menasihati Anak Anda

Anak sukar mendengar nasihat dan teguran anda? Ambil masa dan ketahui waktu yang efektif bagi menasihati si kecil anda. Nasihat harus sampai ke hati terlebih dahulu, barulah otak anak anda akan mula berfungsi untuk memikirkan kesan dan akibat daripada sesuatu perbuatan. Nasihat tidak sepatutnya menjadi ungkapan kosong masuk telinga kanan keluar telinga kiri.

Anak tidak akan dapat menerima nasihat pada bila-bila masa. Ada waktunya keadaan fizikal, mental dan emosi anak tidak bersedia untuk menerima nasihat ataupun terlalu terbeban dengan perkara lain walaupun kita bersemangat memberi nasihat.

Ketahui 4 waktu yang terbaik untuk menasihati dan tegur anak anda:

  • Waktu dalam perjalanan

Sebenarnya waktu yang singkat dan terkejar-kejar menghantar dan mengambil anak dari sekolah merupakan waktu yang efektif untuk menasihati anak. Nasihat tidak semestinya panjang lebar, hanya nasihat yang ringkas dan padat lebih mudah dihadam berbanding nasihat yang penuh berfalsafah.

Dalam perjalanan ke sekolah, anda dapat nasihatilah anak tentang adab dan akhlak bersama guru, bersama rakan-rakan dan juga terhadap orang sekeliling. Ambil masa ini untuk mendengar cerita anak-anak, apabila anda cuba mendengar dan faham, anak anda akan lebih terbuka untuk bercerita dan anda juga lebih berpeluang untuk memberi nasihat.

  • Waktu makan bersama

Inilah waktunya mereka akan meminta dan memerlukan nasihat secara langsung atau secara tidak langsung. Ketika kita mendengar dan bercerita, selitkanlah nasihat dan panduan sebagai pedoman buat anak-anak. Inilah juga adalah masa untuk para ibu bapa menerapkan adab dalam diri anak-anak seperti adab makan, adab mengambil makanan, adab menyuap makanan, dan lain-lain. Jadikanlah waktu makan waktu yang berkualiti untuk keluarga.

Advertisement
  • Waktu ketika anak sedang sakit

Lumrahnya apabila sakit anak-anak menjadi lebih manja dan lebih inginkan belaian dan perhatian daripada ibu bapa. Inilah peluangnya untuk kita berlembut menasihati anak secara ringan tapi sangat bermakna kepada mereka. Pilihlah nasihat yang mudah diterima dan sesuai dengan keadaan anak.

  • Waktu ketika bermain bersama

Bermain bersama-sama anak ketika mereka kecil, ketika membesar dan juga ketika remaja bukan hanya memberi manfaat kepada perkembangan fizikal anak, malah ia juga membentuk keperibadian positif anak.

Cuba bermain bersama-sama dengan anak supaya ianya menjadi lebih bermanfaat berbanding membiarkan anak mengadap permainan pada gajet. Apabila ikatan keluarga dapat diwujudkan antara ibu bapa dan anak ketika bermain bersama-sama, anak akan lebih terbuka untuk menerima sebarang nasihat mahupun teguran.

Kesimpulannya, setiap anak menerima nasihat pada waktu yang berbeza-beza mengikut keperluan, keupayaan dan kematangan masing-masing. Carilah waktu yang sesuai dan tepat untuk memberi nasihat agar nasihat tersebut dapat meresap ke jiwa anak. Semoga bermanfaat.