Ketahui Petua Menyediakan Makanan Bayi

Pada usia 6 bulan, bayi anda kini bersedia untuk diperkenalkan dengan makanan pelengkap. Meskipun proses penyediaan makanan si manja akan mengambil masa sedikit, namun ibu harus ingat, ianya tidaklah sesukar mana. Apa yang penting, bayi mendapat makanan yang berkhasiat dan segar yang disediakan dengan penuh kasih sayang oleh anda.

Antara petua menyediakan makanan untuk bayi anda:

  1. Gunakan ramuan segar dan elakkan penggunaan bahan makanan dalam tin kerana mempunyai kandungan garam yang tinggi.
  2. Makanan boleh dicampurkan dengan susu ibu agar bayi lebih bersedia menerima makanan baru dan menjadikan makanannya lebih berkhasiat.
  3. Mulakan dengan makanan yang mempunyai tekstur halus, licin dan lembut (seperti makanan yang dijadikan puri, dilenyek).
  4. Kukus sayur untuk mengekalkan kandungan nutriennya. Sayuran yang dikukus kemudian boleh dijadikan puri dan masukkan ke dalam bubur.
  5. Anda boleh masak sayuran dan buah-buahan berkulit lembut dengan kulitnya sekali untuk mengekalkan nutrien.
  6. Buah-buahan lembut boleh dilenyek dengan menggunakan garpu manakala yang lebih keras boleh dikukus dahulu, kemudian dilenyek atau dijadikan puri.
  7. Daging, ikan atau ayam hendaklah dimasak dengan betul. Cara untuk memasak makanan ini dengan mengekalkan kandungan nutriennya ialah dengan mengukus, mereneh atau merebus.
  8. Sentiasa jaga kebersihan dan amalkan cara yang betul apabila mengendalikan dan menyediakan makanan.
  9. Sentiasa gunakan peralatan yang bersih apabila memberi bayi makan.
  10. Sebaik sahaja makanan dicair beku, jangan sejuk bekukan sekali lagi untuk mengelakkan pertumbuhan bakteria. Tindakan ini juga akan menjejaskan tekstur, kesegaran dan juga kandungan nutrien makanan.

Dengan itu, para ibu bapa hendaklah memastikan makanan bayi yang berada dipasaran adalah baik untuk bayi anda. Pastikan anda periksa kandungan ramuan pada produk tersebut. Sebaik-baiknya sediakan makanan yang dibuat dengan air tangan anda. Akhir sekali, dengan mengikuti petua-petua penyediaan makanan bayi ini ia dapat membantu anda untuk menyediakan makanan yang sihat, bersih dan selamat untuk si kecil anda.

Ketahui  Petua Menyediakan Makanan Bayi 1