Peringkat Kehamilan Para Ibu Perlu Tahu

Saat kehamilan adalah saat paling dinanti-nantikan para wanita. Ia adalah anugerah yang paling terindah dalam menjalani kehidupan berumah tangga. Sepanjang 40 minggu, tubuh anda akan mengalami perubahan yang ketara. Mari kita ketahui apa yang bakal berlaku semasa tempoh tiga peringkat kehamilan (trimester).

Peringkat pertama (minggu 1-12 | bulan 1-3)

Pada permulaan kehamilan, anda akan berasa beberapa perkara seperti mabuk hamil, keinginan terhadap makanan, perubahan perasaan, emosi yang tidak tentu, buah dada yang bengkak dan perubahan berat badan. Anda boleh ikuti tips untuk mabuk hamil di artikel ini:

Perkembangan bayi: Struktur utama bayi seperti otak, saraf tunjang, sistem saraf dan tulang belakang bayi akan mula membentuk pada peringkat trimester pertama ini. Penting untuk para ibu mengamalkan pemakanan yang sihat kerana bayi sangat bergantung kepada anda untuk mendapat sumber nutrisi.  

Bakal-bakal ibu bapa tentu teruja untuk mengetahui rupa bayi, untuk pengetahuan anda pada peringkat pertama kehamilan bentuk anggota badan yang penting seperti mata, telinga, mulut, tangan, kaki bayi akan mula terbentuk. Ia terhasil daripada gabungan unik DNA anda dan pasangan.

Peringkat kedua (minggu 13-28 | bulan 4-6)

Pada peringkat ini, mabuk mengandung anda akan makin berkurangan dan anda akan mula merasai pergerakan bayi dalam kandungan. Selain itu, anda juga akan mengalami tangan kebas atau menggigil, keregangan, sakit di bahagian belakang, perut dan kemaluan.

Perkembangan bayi: Otak bayi akan mula membentuk sebanyak 100 juta neuron bagi menyokong deria penglihatan, pendengaran dan sentuhan. Ibu perlulah mengambil diet yang seimbang dan sihat yang mempunyai sumber DHA seperti ikan sardin, ikan salmon dan kacang walnut bagi menyokong deria penglihatan bayi dalam kandungan. Selain itu, bayi juga akan mula memberi tindak balas kepada bunyi-bunyian daripada luar. Ini akan membantu mereka meneroka persekitaran di sekeliling mereka. Dalam peringkat kedua ini juga bakal ibu bapa dapat mengetahui jantina bayi dalam kandungan.

Peringkat ketiga (minggu 29-40 | bulan 7-9)

Pada peringkat ini, anda akan berasa kurang selesa kerana bayi anda akan menekan organ anda. Disebabkan itu, anda akan kerap ke tandas, sakit di bahagian buku lali, jari, rasa mengah, susah untuk tidur dan juga buah dada akan menjadi lembut dan adakalanya mendorong susu untuk keluar terlebih awal.

Perkembangan bayi: Sel saraf yang berkaitan bau akan berkembang. Dimana bayi akan dapat mengesan bau dan memberi tindak balas kepada bau tersebut. Pada bulan ke-9, bayi akan bergerak ke bawah ke kedudukan fetus. Pastikan anda mengamalkan pemakanan yang seimbang seperti mengambil daging tanpa lemak, bijirin, kekacang dan produk soya dalam hidangan anda. Diet yang berkhasiat juga membantu badan anda untuk sembuh dengan sendiri selepas bersalin.

Akhir sekali, apabila tiba saat yang dinanti-nanti, dengan kesakitan kontraksi, jangan lupa untuk bernafas dengan perlahan-lahan, cuba sedaya upaya untuk bertenang dan sokongan daripada orang tersayang juga penting bagi memudahkan anda bersalin.

Peringkat Kehamilan Para Ibu Perlu Tahu 1