Tips Atasi Masalah Mabuk Laut

Sesetengah orang sangat sensitif apabila menaiki pengangkutan air seperti bot, feri mahupun kapal. Mabuk laut sangat lazim di kalangan masyarakat Malaysia dan ia bukanlah perkara yang boleh diambil endah. Selain itu, pengangkutan darat seperti kereta, van atau pengangkutan udara juga tidak asing daripada berlakunya masalah ini. Pening atau mabuk kenderaan ini berlaku apabila sistem keseimbangan dalam badan anda terganggu.

Terdapat beberapa tips bagi mereka yang mengalami masalah mabuk laut atau kenderaan semasa bercuti:

  • Makan pil anti-mabuk

Anda boleh cuba pil anti-mabuk atau anti-nausea. Pil ini boleh didapati di farmasi, pastikan anda membawanya semasa melancong. Makan pil ini sebelum menaiki atau apabila anda mula berasa pening. Kesan daripada  ini, ia akan mengimbangkan badan anda dengan pergerakan kenderaan yang anda naiki.

  • Pilih tempat duduk yang betul

Pastikan anda duduk di tempat duduk yang kuranf tekanan. Kalau anda menaiki cruise, pemilihan kabin yang betul memainkan peranan. Cari kabin yang mempunyai tingkap supaya anda dapat melihat luaran kapal semasa ia bergerak.

Jika anda menaiki bot atau feri, kalau ianya dua tingkat, pilih bahagian bawah dan berada di tengah bot. Kawasan ini adalah yang paling kurang pergerakan.

  • Amalkan pemakanan yang sihat

Untuk pengetahuan anda, makanan yang bersifat masin atau masam sebenarnya dapat membantu untuk mengurangkan mual seperti asam, jeruk dan lain-lain. Anda boleh pilih amalkan buah-buahan yang bersifat masam seperti epal hijau atau mangga. Sifat masam ini boleh kurangkan kesemua jenis mabuk disebabkan perjalanan.

Advertisement
  • Kaji cuaca dan keadaan tempat percutian

Kalau pengangkutan udara, biasanya gegaran berlaku disebabkan ‘air pocket’ atau awan. Sama juga dengan kapal atau bot, faktor yang menyebabkan ianya lebih bergoyang atau lebih beralun adalah keadaan laut dan ombak.

Jika anda ingin menaiki cruise, anda digalakkan untuk kaji dahulu laluan yang kapal tersebut akan lalui. Kena atau tidak dengan musim. Contohnya, jika anda menuju ke perairan Carribean, elakkan musim panas atau musim luruh ini biasanya adalah musim ribut.

  • Alihkan pandangan

Garisan langit atau garisan horizon ini adalah ‘garisan’ yang memisahkan laut dan langit ketika anda berada di lautan yang terbentang luas. Teknik disini adalah, jadikan garisan tersebut sebagai titik rujukan dan ini akan ‘mengingatkan’ otak kita yang kita tengah bergerak dan secara tak langsung akan elakkan berlakunya kekeliruan antara telinga dan mata. Perkara ini akan membantu anda kekal tenang.

  • Dapatkan nasihat dokter

Bagi langkah pencegahan awal, anda dinasihatkan untuk mendapat nasihat daripada dokter seminggu atau sebelum menaiki kapal atau bot. Kenalpasti keadaan yang anda alami bagi memudahkan dokter untuk mengetahui keadaan mabuk kenderaan dan memberi ubat pada dos yang sesuai mengikut keperluan anda. Hal ini kerana, setiap individu mempunyai tindak balas yang berbeza.

  • Perbetulkan postur badan anda

Ramai yang tak perasan atau terlepas pandang berkaitan hal ini, ada segelintir doktor berpendapat bahawa postur atau kedudukan badan semasa menaiki kapal atau bot juga boleh mempengaruhi tidakbalas badan terhadap pergerakan. Jika anda berasa mual, pening atau mabuk kenderaan, cuba tegakkan badan atau gunakan bantal travel untuk menyokong leher  anda.

Kesimpulannya, bagi mengelakkan percutian anda terganggu dengan masalah mabuk kenderaan anda, ikuti tips di artikel ini bagi memudahkan perjalanan dan nikmati percutian anda. Semoga bermanfaat.