Tips Kekal Cantik Semasa Mengandung

Mengandung boleh menjadikan anda seorang wanita yang sangat jelita. Anda tidak perlu berasa takut untuk mengandung, malah dengan mengandung wajah si ibu akan lebih berseri dan cantik. Ikuti tips dibawah untuk kekal cantik semasa mengandung:

  • Mencuci wajah

Pembersihan muka, menggunakan toner dan pelembap muka adalah perkara yang terbaik yang boleh anda lakukan untuk menjaga kulit muka anda. Semasa membasuh muka, pastikan anda menggunakan pencuci muka yang sesuai dengan kulit wajah anda. Cuci wajah sekurang-kurangnya dua kali sehari. Masa terbaik untuk membersihkan muka adalah selepas bangun dari tidur dan sebelum tidur. Pastikan anda mencuci muka dengan cara yang betul.

Selepas mencuci muka adalah penting untuk mengeringkan muka perlahan-lahan. Menggosok muka dengan tuala adalah sangat tidak digalakkan kerana keradangan boleh menyebabkan jerawat dan boleh melukakan kulit muka. Cara yang betul untuk mengeringkan muka adalah dengan hanya menepuk kulit dengan tuala ringan sehingga kulit bebas dari air.

  • Elakkan sinaran matahari

Mengandung atau tidak, sinaran matahari adalah musuh utama kulit. Ianya sangat berbahaya sehingga boleh menyebabkan kanser kulit. Apabila anda berada di luar atau terdedah dengan sinaran matahari, gunakan sunblock, payung, topi, selendang atau apa saja untuk melindungi diri anda daripada pancaran matahari.

  • Rawatan wajah dan produk kosmetik

Pastikan petugas rawatan wajah tahu yang anda sedang hamil kerana kadangkala ibu mengandung mengalami kulit yang agak sensitif. Pemilihan barangan kosmetik sangat penting bagi memastikan ianya tidak membahayakan janin. Bahan kosmetik yang mengandungi campuran bahan kimia yang berbahaya juga akan membahayakan kesihatan ibu dan bayi dalam kandungan.

  • Amalkan pemakanan yang sihat

Anda perlu mengutamakan diet yang seimbang seperti amalkan pemakanan sayur-sayuran dan buah-buahan organik untuk memberikan khasiat yang diperlukan untuk kulit. Vitamin A seperti ikan, lobak merah telur dan susu juga penting untuk mengekalkan kesihatan kulit anda. Vitamin A dan E dapat mengurangkan proses penuaan kulit.

Advertisement
  • Minum air secukupnya

Banyakkan minum air kosong yang mana sangat baik untuk muka. Ia juga membantu bagi mengurangkan risiko dehidrasi, anda hendaklah minum air sekurang-kurangnya 2 liter sehari.

  • Senaman ringan

Senaman secara efektif dan teratur dapat mencegah tubuh menjadi terlalu gemuk ketika hamil juga akan membuatkan si ibu lebih segar dan sihat. Jantung anda akan berfungsi dengan lebih baik sehingga peredaran darah ke bayi dalam kandungan menjadi lebih lancar. Anda tidak perlu bersenam terlalu aktif, senaman ringan seperti berjalan kaki, berenang, regangan sudah memadai.

Dengan semua perubahan yang berlaku kepada badan anda, terdapat banyak bonus kecantikan yang membuat anda kelihatan menarik dan menawan. Peningkatan dalam kuantiti darah akan menyebabkan muka anda akan kelihatan lebih berseri-seri. Namun tidak kurang juga ada yang menderita mengalami masalah jerawat semasa mengandung. Selain daripada emosi, hormon si ibu mengandung juga yang kadangkala tidak stabil.