Tips Memilih Pam Susu “Breast Pump”

Semua ibu inginkan yang terbaik untuk anak mereka, daripada memilih kelengkapan bayi sehinggalah menyusukan anak. Mungkin ada yang belum tahu bahawa menyusukan anak bukanlah semudah yang disangka. 

Bagaimanakah cara untuk pam susu?

Untuk setiap sesi, lakukan double pump selama 10-15 minit untuk stimulasi tambahan. Setelah susu ada, pam selama 30 minit untuk setiap sesi atau 2-5 minit setelah beberapa titisan terakhir. Jadi sebelum anda membeli, seeloknya anda mengetahui kriteria pam susu yang terbaik mengikut bajet dan ciri yang anda inginkan. Berikut mungkin dapat membantu anda memilih jenis pam payudara yang sesuai.

  • Pemilihan pam susu manual atau elektrik

Jika anda memilih pam manual, biasanya ia bersaiz kecil dan tiada masalah untuk membawanya ke mana-mana. Sekiranya anda membeli pam elektrik, anda perlu mengetahui saiz dan rekabentuknya sama ada ia mudah untuk dibawa ke sana sini. Kadangkala keseluruhan set beserta beg penyejuk (cooler) dan botol penyimpan turut ditawarkan sekali untuk memudahkan anda membuat pilihan.

  • Single pump atau double pump

Faktor pemilihan ini bergantung kepada individu kerana bagi anda yang mempunyai susu badan yang banyak, double pump adalah pilihan yang ideal dan ia juga menjimatkan masa kerana anda boleh mengepam susu pada kedua-dua belah payudara dalam satu masa yang sama. Hal ini juga bergantung kepada faktor handsfree, kerana tidak semua pam susu yang boleh mengepam tanpa perlu dipegang.

  • Saiz motor pam susu

Saiz pam susu juga memainkan peranan yang penting kerana ia akan mempengaruhi pergerakan anda untuk melakukan aktiviti di luar rumah seperti di tempat kerja, di pejabat atau semasa melancong. Terdapat pelbagai saiz pam susu yang ada di pasaran sama ada bersaiz kecil atau besar. Bagi saiz pam susu yang kecil adalah sesuai untuk anda kerana ia lebih ringan berbanding pam susu yang bersaiz besar.

Advertisement
  • Keselesaan penggunaan

Anda hendaklah memastikan keselesaan anda semasa proses pengepaman susu bagi mengelakkan masalah melecet pada kulit anda. Corong pam susu juga mempengaruhi keselesaan anda semasa mengepam susu kerana setiap individu mempunyai saiz payudara yang berbeza. Kebiasaanya, set pam susu di pasaran menyediakan pelapik getah yang lembut pada corong, dimana ia boleh ditanggalkan dengan mudah dan ia sangat bagus membantu corong melekap dengan kemas pada payudara.

  • Daya hisapan (suction)

Setiap susu pam di pasaran mempunyai daya hisapan yang berbeza-beza. Daya hisapan yang terbaik adalah daya hisapan yang menyerupai daya hisapan bayi, ianya tidak menyakitkan dan dapat membantu melancarkan pengeluaran susu dengan banyak.

  • Bunyi motor pam susu

Salah satu sebab bunyi sebagai faktor dalam pemilihan pam susu kerana bagi ibu bekerja yang perlu mengepam di tempat awam, anda memerlukan pam susu yang berbunyi perlahan.

  • Harga yang memenuhi keperluan anda

Terdapat pelbagai harga di pasaran, ada yang harga puluhan ringgit, ratusan ringgit dan ada juga ribuan ringgit. Pam susu yang mahal tidak semestinya ia sesuai untuk anda. Pastikan harga pam susu yang anda mahukan bersesuaian dengan bajet anda dan mempunyai elemen yang sesuai dengan keperluan anda.

Sebelum membuat keputusan pembelian, pastikan anda membuat survey ringkas dengan melihat testimoni atau feedback daripada pengguna yang lain di social media.