Tips Mengeratkan Hubungan Adik Beradik

Dalam hubungan adik beradik ini pasti ada pasang surutnya, terkadang ada tersalah faham dan terselisih pendapat. Namun semuanya itu boleh dibaiki dan dipulihkan semula, bak kata pepatah, “air yang dicincang tidak akan putus”.

Dalam artikel ini, disenaraikan tips hendak mengeratkan hubungan adik beradik:

  • Solat Berjemaah

Solat secara berjemaah juga ialah cara yang terbaik untuk mengeratkan silaturahim. Apatah lagi selepas bersolat kita akan bersalaman sesama adik-beradik dan berdoa bersama-sama. Dengan itu hubungan kekeluargaan akan lebih diberkati oleh Allah SWT.

  • Makan Bersama

Waktu makan ialah waktu yang tepat bersama-sama atau berkumpul beramai-ramai. Tambahan lagi jika melibatkan adik beradik dan ahli keluarga yang ramai, keraplah makan bersama-sama. Selain itu jika terdapat apa-apa majlis seperti kenduri dan keraian, berkunjunglah agar hubungan sesama adik-beradik setiasa rapat dan tidak terputus.

  • Peranan Ibu bapa

Dalam usaha mengeratkan hubungan sesama keluarga, peranan ibu bapa sangat penting. Jangan sesekali mengabaikan anak-anak dan yang paling penting elakkan sikap pilih kasih dan berat sebelah terhadap anak-anak. Selain itu, ibu bapa juga perlu menunjukkan contoh hubungan yang baik sesama pasangan selain banyak meluangkan masa dengan anak-anak. Dengan itu barulah anak-anak juga akan ikut sama berkasih sayang.

  • Berkongsi Masalah Dengan Adik-Beradik

Kebanyakan orang kerap menjadikan sahabat karib sebagai tempat meluahkan masalah, tetapi ahli keluarga juga adalah tempat yang lebih sesuai untuk menjadi penasihat dan pendengar yang baik. Ini kerana faktor mereka lebih mengenali kita berbanding orang lain. Dengan itu sudah tentu mereka dapat memberi nasihat yang lebih tepat dan yang terbaik untuk kita sebagai ahli keluarganya.

Advertisement
  • Melakukan Aktiviti Bersama-sama

Lakukanlah apa-apa jua aktiviti secara bersama-sama. Ambillah waktu untuk bercuti bersama-sama ataupun melakukan aktiviti riadah dengan ahli keluarga seperti berkelah, membeli-belah dan sebagainya.

  • Menyambut Hari Penting

Ahli keluarga juga boleh mengeratkan hubungan dengan meraikan hari-hari penting bagi setiap ahli keluarga. Seperti meraikan ulang tahun hari lahir setiap adik-beradik, ulang tahun perkahwinan ibu dan ayah dan sebagainya. Tindakan ini bukan sahaja dapat mengeratkan silaturahim tetapi sebagai tanda penghargaan kepada ahli keluarga tersebut. Mereka juga akan berasa bahagia dan gembira.

  • Memberi Hadiah Dan Buah Tangan

Islam sangat menggalakkan umatnya untuk sentiasa memberi. Iaitu sebagai bentuk buah tangan atau hadiah. Contohnya jika pulang dari bercuti atau melancong, belilah apa-apa sahaja untuk ahli keluarga, biarlah tidak mahal tetapi tetap ada untuk mereka. Jenama, harga dan rupa tidaklah penting, tetapi pemberian tersebut yang ikhlas akan memberi kesan. Sentiasa Berkomunikasi

  • Komunikasi

Seringlah berhubung antara satu sama lain walaupun berada di tempat yang berjauhan. Dengan kemudahan teknologi hari ini sudah tidak ada alasan lagi untuk tidak berhubung. Menerusi aplikasi whatsapp, facebook yang memudahkan kita menghubungi adik-beradik dan keluarga bila-bila masa sahaja.

  • Saling Menghormati

Hal yang sangat perlu dititikberatkan dalam menjaga hubungan antara adik-beradik ini adalah rasa hormat antara satu sama lain, terutamanya bagi adik-adik perlu menghormati kedudukan abang dan kakaknya. Namun ni tidak bermakna abang dan kakak tidak perlu menghormati adik-adiknya. Hormat menghormatilah antara satu sama lain daripada aspek percakapan, perbuatan menjaga perasaan dan sebagainya.

  • Mudah Memaafkan

Adalah perkara biasa jika berlakut perselisihan antara adik-beradik. Namun, hal tersebut jangan dipanjangkan dan segera diselesaikan daripada dibiarkan berlarutan. Segeralah memohon maaf dan mudahkanlah menghulurkan kemaafan. Buang ego dan jangan terlalu meninggi diri dengan adik-beradik, tetapi keraplah bertolak ansur dan bersangka baik. Jika ada perkara salah dan silap dilakukan oleh adik-beradik kita, maka tegurlah dengan cara yang berhikmah dan lemah lembut. Cara itu adalah lebih baik dalam menjaga keharmonian kekeluargaan.

Kesimpulannya, menjaga keharmonian institusi keluarga sangat penting dan dituntut dalam agama. Walaupun sering berselisih faham, bergaduh dan berebutkan benda, adik-beradik tetap mempunyai hubungan yang istimewa antara satu sama lain.